Sahabat Sejati

Korang baca harian metro bertarikh 7 April 2010... mana korang nak jumpa sahabat yang sebegini di zaman ini sebab macam dah pupus ajer...

Sahabat sejati
Oleh Azahar Hashim
am@hmetro.com.my
2010/04/07

KULIM: Demi sahabat, seorang lelaki sanggup berhenti kerja bagi membantu menguruskan rakan cacat seumur hidup akibat disimbah asid oleh saudara kandungnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Disember tahun lalu.
Mat Dori Osman, 34, bersama dua rakannya, Shahrul Kamel Jamaluddin, 41, Mohd Shahrel Mohd Ali, 28, kini bersama-sama membantu dan menguruskan keperluan Azri Abdullah, 42, di rumah mereka di Taman Tunku Putra, di sini, serta membawanya ke hospital untuk rawatan susulan setiap dua minggu sejak bulan lalu.

Harian Metro pernah melaporkan penderitaan Azri pada 12 Januari lalu yang parah selepas disimbah asid oleh ibu kandung dan adik lelakinya di Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor dalam kejadian 22 Disember tahun lalu.

Akibat kejadian itu, Azri yang masih bujang parah di seluruh muka, dada dan kedua-dua tangan dan dirawat di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star.

Kejadian itu juga menyebabkan Azri hampir buta dan kini penglihatannya kabur.

Mat Dori, ketika ditemui, berkata dia mengambil keputusan berhenti kerja dari sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang kerana terlalu simpati dengan Azri yang kini tidak mempunyai tempat bergantung selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Katanya, dia sudah lama mengenali Azri sebagai sahabat, malah keluarganya sendiri merestui tindakannya berhenti kerja membantu Azri.

“Hanya saya berhenti kerja, tetapi Shahrul Kamel dan Mohd Shahrel masih bekerja. Kami bergilir menjaga urusan Azri dan sekiranya dia perlu ke hospital, kami bertiga akan menghantarnya,” katanya.

Katanya, dia tidak menyesal berhenti kerja kerana pasti satu hari nanti apabila penglihatan Azri pulih semula dan keadaan bertambah baik, dia akan mencari kerja semula.

“Saya ikhlas membantu Azri kerana keluarganya sudah tidak mempedulikannya lagi,” katanya. Sementara itu, Azri ketika ditemui, berkata dia amat bersyukur dan terharu masih ada sahabat sudi membantunya selepas dia hilang tempat bergantung.

Katanya, tiga sahabatnya itu yang menguruskan segala makan minumnya selepas dia dibenarkan keluar hospital bulan lalu.
“Saya amat terharu apabila Mat Dori sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga saya terutama untuk menyapu ubat di bahagian badan yang melecur tiga kali sehari selain menyuapkan makan.

“Apabila Shahrul Kamel dan Mohd Shahrel keluar bekerja, Mat Dori mengambil tugas menjaga saya dan apabila pulang bekerja mereka menjaga saya. Inilah kawan ketika susah dan senang saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh hubungi Azri di talian 012-5772130 atau menerusi akaun RHB Bank bernombor 10702800602905.

No comments:

Post a Comment